BAJET 2013

BAJET 2013
APA YANG ANDA TAHU DAN APA YANG ANDA DAPAT

Jumaat, 23 November 2012


Pengerusi BN Bagan Serai, Datuk Zaili Cha, berkata beberapa projek pembangunan mega akan dilaksanakan di kawasan itu, sekaligus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sosio-ekonomi setempat pada masa akan datang.
“Jika ingin pembangunan yang berterusan, rakyat perlu bagi sokongan kepada BN, jangan lagi tertipu dan harus diingat bukan masa yang singkat untuk kita berpatah balik. Rakyat kena tanggungjawab terhadap diri sendiri dan negara dengan membuat pilihan yang terbaik,” katanya kepada Peraktoday.com.
Tegasnya lagi, jika pembangkang berkuasa di peringkat negeri dan parlimen, projek pembangunan yang dirancang akan terbantut yang akhirnya akan menjejaskan masa depan rakyat.
Sementara itu, rakyat Bagan Serai katanya, bakal menikmati pembangunan dan kemajuan yang lebih pesat apabila beberapa projek mega yang kini dalam peringkat awal pembinaan siap sepenuhnya, semuanya di atas bantuan dan sokongan kerajaan BN.
Projek membina dewan serbaguna dan mini stadium di pekan Bagan Serai yang bernilai RM7 juta sedang giat dilaksanakan oleh pihak kontraktor dilantik, tegasnya.
“Selain itu, kerja membina susur keluar tol Alor Pongsu yang menelan kos RM70 juta sudah bermula Februari lalu manakala projek tebatan banjir yang bernilai RM470 juta juga akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
“Dari sudut ekonomi, projek susur keluar itu pastinya akan merancakkan pertumbuhan ekonomi pekan Bagan Serai dan kawasan sekitarnya.
“Difahamkan juga, sebuah lapangan terbang tambang murah (LCCT) akan dibina di kawasan Sungai Bogak menganjur hingga ke Alor Pongsu yang membabitkan pembangunan tanah seluas 400 hektar, sekaligus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di Parlimen Bagan Serai,” katanya.
Mengulas lanjut, Zaili berkata, untuk fasa pertama projek mengatasi banjir di Bagan Serai, kerja membersih dan mendalamkan Tasik Bukit Merah yang menelan kos RM40 juta telah berjalan kira-kira sebulan yang lalu.
“Kerja membina ban untuk tebatan banjir bakal dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini kerana pihak kontraktor sudah dipanggil selain sebuah hospital daerah yang mempunyai kemudahan 300 katil juga akan dibina di Simpang Lima, dekat Parit Buntar.
“Saya difahamkan tender untuk fasa pertama projek membina hospital daerah ini sudah dikeluarkan dan kita harap kerja awal pembinaan dapat dimulakan sebelum pilihan raya akan datang.
“Jika dahulunya, rakyat sering mendakwa kawasan ini mundur dan dianaktirikan oleh BN tetapi kini beberapa projek mega yang akan dibina di sini bakal membawa pembangunan yang pesat di Bagan Serai.
“Sudah pastinya jalan di Alor Pongsu akan dinaiktaraf dan diperbesarkan, sekaligus membantu pihak Emkay Land memajukan Lembah Bariah,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, sokongan rakyat terhadap BN Perak terutamanya di Parlimen Bagan Serai, katanya, semakin bertambah baik dan hampir 80 peratus pengundi India kini kembali menyokong kerajaan.
“Kebanyakan pengundi India kembali menyokong BN kerana mereka dapat lihat sendiri segala apa yang dijanjikan oleh Pakatan Rakyat terutamanya di negeri dikuasai pembangkang seperti Selangor dan Pulau Pinang hanyalah sekadar cakap kosong sahaja.
“Rakyat sudah muak dengan alasan wakil rakyat pembangkang yang berdolak-dalih untuk membantu dan membela nasib pengundi termasuklah di Parlimen Bagan Serai ini,” katanya.
Zaili yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, berkata sokongan masyarakat Cina di kawasan itu juga tambah menyakinkan hasil pelbagai program yang diatur oleh BN sejak kerusi itu dikuasai parti pembangkang.
“Kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Selinsing dan Gunung Semanggol dikuasai oleh pembangkang dan BN hanya menang di DUN Alor Pongsu yang kini diwakili Datuk Sham Mat Sahat.
“Meskipun begitu, khidmat yang ditawarkan wakil rakyat PAS di kawasan Selinsing dan Gunung Semanggol tidak sampai 10 peratus yakni sekadar menziarahi orang meninggal atau hadir di majlis kenduri-kendara tetapi dari segi sumbangan dan bantuan tidak pula dihulurkan.
“Sebaliknya, mereka ini meminta pengundi supaya berhubung dengan pihak berwajib, iaitu tentunya kerajaan BN untuk mendapatkan bantuan dengan alasan PR tidak lagi menguasai negeri,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, bekas Adun Selinsing itu berkata, apabila BN Perak kalah pada pilihanraya 2008, pihaknya terus mengorak langkah menyusun program turun padang dan motivasi selang sehari selepas itu bagi mendapatkan kembali sokongan rakyat di Parlimen Bagan Serai.
“Pada 8 Mac 2008, Perak dikuasai parti pembangkang dan selang dua hari selepas itu, iaitu pada 10 Mac kita terus menyusun pelbagai program turun padang untuk memberi penerangan secara berterusan kepada rakyat.
“Dalam tempoh 11 bulan itu, kita juga melaksanakan program kemasyarakatan selain meningkatkan khidmat dari segi pentadbiran supaya rakyat merasa mereka terus didampingi oleh BN,” ulasnya.
Program Semarak diperkenalkan di setiap cawangan dengan mengajurkan aktviti gotong-royong bersama sayap pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri selain membuka kaunter bagi menyalurkan masalah rakyat dengan kerjasama agensi kerajaan.
Bantuan dari rumah ke rumah juga katanya, dipratikkan secara berkala mengikut zon yang telah ditetapkan.
“Program Mantap juga diwujudkan bagi menawan semula kerusi Parlimen dan DUN Selinsing dan Gunung Semanggol dengan menganjurkan kursus kepada ahli jawatankuasa peti undi dari semasa ke semasa.
“Dari segi persediaan, kami di sini bersiap-sedia menghadapi PRU-13 pada bila-bila masa sahaja, hanya menunggu semboyan ditiupkan oleh Perdana Menteri,” tegas Zaili lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan